KUANTAN: Sepasang suami isteri boleh dianggap jiran durjana apabila dipercayai mengeluarkan wang berjumlah RM52,000 milik seorang pembantu restoran tanpa pengetahuan mangsa sejak tahun lalu.

Berikutan itu, polis menahan kedua-dua suspek berusia 52 dan 57 tahun di kediaman mereka di Perumahan Flat Kos Rendah Pak Mahat di sini, kira-kira jam 6 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata terdahulu mangsa wanita berusia 41 tahun dikatakan meminta bantuan suspek yang juga jiran dikenali sebagai ‘Kak Pah’ untuk memeriksa baki dalam akaunnya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikata menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya kepada Kak Pah bagi tujuan itu pada 25 Mei tahun lalu.

“Bagaimanapun, suspek didakwa tidak memulangkan semula kad ATM itu walaupun beberapa kali diminta mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, setiap kali mangsa meminta kad ATM itu, suspek yang bekerja sendiri didakwa memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati dikatakan pergi ke BSN Kuantan, semalam, untuk memeriksa baki akaun sebelum mendapati duitnya sudah ‘hilang’ sebanyak RM52,000.

Bertindak atas laporan polis oleh mangsa kira-kira jam 2.30 petang semalam, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berjaya menahan kedua-dua suspek kerana disyaki mengeluarkan duit mangsa tanpa kebenaran.

“Suspek dipercayai mengeluarkan wang itu secara berperingkat tanpa pengetahuan mangsa untuk kegunaan harian,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman di IPD Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita kerugian RM6,870 dipercayai ditipu dalam urusan jual beli syiling lama melalui media sosial.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 20 tahun dan tidak bekerja itu menerima mesej melalui satu akaun Instagram, duitlama1100, 28 Mac lalu.

“Menerusi mesej itu, suspek dikatakan mahu membeli syiling lama satu sen daripada mangsa pada harga RM1,000 sekeping. Setelah berbincang, mangsa bersetuju untuk menjual 15 keping syiling lama satu sen pada harga ditetapkan suspek,” katanya.

Namun, beliau berkata, mangsa dikatakan perlu memasukkan wang terlebih dahulu ke dalam satu akaun diberi kononnya kerana duit suspek berada di luar negara dan sukar dimasukkan ke dalam akaun mangsa di Malaysia.

“Mangsa kemudian dikata melakukan enam transaksi memasukkan wang berjumlah RM6,870 ke dalam satu akaun Maybank diberikan.

“Namun selepas disyaki ditipu, mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam,” katanya – berita harian