IPOH:
Perak mempunyai keluasan hutan simpanan kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 997,623.86 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kawasan itu meliputi 47.45 peratus daripada keluasan negeri ini.

Menurut beliau, keluasan hutan simpanan kekal itu juga memenuhi piawaian Sijil Pengurusan Hutan, MC & I (hutan kekal) di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS).

“Kerajaan negeri konsisten untuk membuktikan aktiviti pengurusan hutan di negeri Perak diurus secara mapan, malah diyakini masyarakat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, kejayaan pematuhan piawaian persijilan menerusi standard `Malaysian Criteria & Indicator’ itu sejak diperkenalkan tahun 2007, menunjukkan hutan simpanan kekal di negeri ini diurus dengan cemerlang di bawah ‘Best Forest Practice’.

Di samping itu, kata beliau, Perak juga mempunyai kompleks hutan paya laut tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 42,223.64 hektar.

Menurutnya, pengurusan hutan paya laut Matang di perairan negeri ini telah diiktiraf sebagai `World Best Managed Mangrove Forest’ oleh para saintis dunia melalui jurnal-jurnal penyelidikan antarabangsa seperti `Wetland Ecological Management, Chemosphere and Aquatic Botany’.

Selain itu, kata beliau, pengurusan hutan paya laut Matang juga telah mencipta sejarah dalam pengurusan hutan paya laut di negara ini apabila menerima pensijilan `Enviromental Management System’ (EMS) ISO 14001:2004 pada Januari tahun ini.

“Pensijilan ini sekaligus meletakkan hutan paya laut di negeri Perak sebagai satu-satunya hutan paya laut di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pensijilan pengurusan alam sekitar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu, kerajaan negeri telah menambah 54 peratus kawasan hutan tadahan air iaitu daripada 159,866 hektar pada tahun 2007 kepada 295,401 hektar tahun lalu.

Katanya, dengan pertambahan itu, menjadikan negeri Perak mempunyai rangkaian litupan kawasan tadahan air yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Dalam masa sama, kata Menteri Besar, sebanyak 10 petak pemeliharaan hutan bernilai tinggi (HCVF) telah diwujudkan di negeri ini, melibatkan kawasan 124 hektar bagi tujuan memelihara sepsis terancam dan endemik seperti keruing paya, balau putih, gerutu daun besar dan daun sang.