IPOH: Perak telah berjaya meningkatkan keluasan hutan tadahan air yang diwartakan di negeri ini sebanyak 54 peratus sejak 2007 hingga 2017.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dalam tempoh 10 tahun itu kerajaan negeri telah meningkatkan jumlah keluasan hutan tadahan air itu daripada 159,866 hektar kepada 295,401 hektar.

Menurut beliau, pada 2016, keluasan hutan tadahan air Perak seperti diluluskan dalam mesyuarat exco keseluruhannya ialah 295,401 hektar, kenaikkan hingga 54 peratus.

bac4f8bf-45e6-4cc0-9217-8c0d9f1fadad

“Ianya belum diwartakan tetapi telah pun mendapat kelulusan dalam mesyuarat exco dan 295,401 hektar itu merupakan jumlah keseluruhan setakat ini diluluskan” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2017 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, SUK, di sini pada Selasa.

Dr Zambry menjelaskan, langkah itu dibuat bagi memastikan kemampanan ekosistem dapat diwujudkan, sekaligus menambah bilangan kawasan simpanan air negeri.

“Ia satu langkah yang besar dibuat kerajaan negeri bagi mencerminkan keseriusan dalam memastikan pembangunan mampan serta seimbang dapat diterapkan dalam kesemua dasar kita.

b777157c-6597-4e30-8dc4-32d2a2def024

“Ini kerana kita tak mahu kita hanya menfokuskan kepada pembangunan fizikal semata-mata tanpa mempedulikan kelestarian serta kemampanan,” ujarnya.

Beliau menambah, ia juga merupakan antara salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan di dalam mengurus sumber air negeri, selain untuk mengelakkan banjir.

Menurut Dr Zambry lagi, bagi mewujudkan ekosistem baik supaya sumber air di negeri ini bersih, pihak kerajaan negeri turut mengambil langkah secara bersepadu dalam membuat sebarang keputusan.

“Dalam dasar-dasar yang dibuat kita, kita akan melibatkan semua jabatan, antaranya Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian, Lembaga Air Perak dan pelbagai lagi,” kata beliau.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati membuang sisa-sisa kumbahan dan sebagainya ke dalam sungai atau pun laut.