IPOH 11 Jun – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kelulusan akademik yang dimilikinya ekoran tular di laman sosial pihak yang mempertikai perkara itu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, terpulang kepada rakyat untuk menilai kesahihan Ijazah Kajian Perniagaan dari Universiti Edith Cowan, Perth Australia yang dimilikinya.

“Terpulang kepada mereka untuk menilai. Ada juga viral (tular) video yang mengatakan saya pandai menari dan terserah kepada mereka untuk menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama 17 Duta dan Ketua Misi Diplomatik Kesatuan Eropah di Malaysia di Banjaran Hotsprings di sini hari ini.

Ahmad Faizal mengulas dakwaan yang tular di laman sosial yang mempersoalkan sama ada beliau benar-benar memiliki Ijazah Kajian Perniagaan dari University Edith Cowan, Australia.

Laporan yang tular itu juga menyatakan bahawa carian tidak menemukan nama Ahmad Faizal dalam senarai pelajar dan bekas pelajar universiti tersebut.- UTUSAN ONLINE