IPOH: Kementerian Pertahanan akan membina sebuah hospital khusus untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pertama seumpamanya di rantau ini di tanah milik ATM di Kem Gua Permai, Jalan Tambun di sini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hospital itu akan dibangunkan dengan pihak BP Healthcare Group yang berkonsepkan kerjasama awam-swasta di kawasan seluas hampir 29,000 meter persegi.

Menurut belia, pembinaan hospital itu melibatkan kos antara RM500 juta dan RM600 juta tetapi tidak mengunakan peruntukan kementerian.

Menurut beliau, hospital ini akan menyediakan kemudahan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas, serta kepakaran lain seperti jantung dan respiratori, urologi dan neuropsikiatri.

“Pembinaan hospital veteran ATM ini adalah bagi memenuhi aspirasi dan keperluan veteran ATM sendiri juga sebagai manisfestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa, keringat dan pengorbanan veteran ATM,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan Hospital Veteran Bersama Warga ATM di di Kem Gua Permai, Jalan Tambun hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Hishammuddin berkata, penubuhan hospital itu juga bagi memastikan usaha menjaga kesihatan yang berterusan dalam kalangan veteran ATM sentiasa diberi penekanan khusus.

Selain itu, kata beliau, kementerian juga akan membina lima buah lagi poliklinik ATM di Kluang, Seberang Takir, Kuantan, Sungai Petani dan Kuching.

Pada masa sama, tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan menaik taraf lima hospital angkatan tentera di seluruh negara.

“Inisiatif ini hanyalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi membela nasib dan kebajikan veteran ATM dan ahli keluarga mereka,” ujarnya.