KOTA KINABALU: Kem tentera Lahad Datu dijangka akan dibina tahun depan dalam usaha meningkatkan keselamatan dan keupayaan pasukan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata beliau sudah membincangkan beberapa isu keselamatan, termasuk mewujudkan kem tentera di Lahad Datu bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika lawatan kerja ke negeri ini.

“Ketua Menteri mengalu-alukan usaha pembinaan kem tentera dan jika semuanya berjalan lancar, kita akan mula (membina kem itu) pada awal tahun depan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata beliau sudah melawat beberapa pulau di pantai timur semalam dan berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan anggota tentera yang berpangkalan di kawasan Op Pasir.

Susulan laporan mengenai rancangan penculikan yang mungkin dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf, beliau berkata pasukan keselamatan sama ada polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa berjaga-jaga setiap masa.

“Saya menggesa masyarakat di pantai timur Sabah supaya terus menjadi mata dan telinga pihak keselamatan. Saya percaya pencerobohan Lahad Datu memberikan pengajaran penting kepada pasukan keselamatan dan rakyat bahawa kerjasama amat penting dalam menentukan kesejahteraan dan keamanan negara,” katanya.

Zulkifli turut percaya kerajaan akan memberi perhatian penuh terhadap perkara berkaitan keselamatan dalam Bajet 2019, yang akan diumumkan esok.

Terdahulu pada majlis itu, Zulkifli menyampaikan PJM kepada 80 tentera veteran dan PKN kepada 80 anggota tentera, yang berkhidmat melawan komunis dari 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

Beliau juga menyampaikan pingat PKN kepada 80 anggota tentera, tentera laut dan udara yang berkhidmat ketika pencerobohan di Lahad Datu atau Op Daulat pada tahun 2013 – berita harian