Subscribe Now

Trending News

Kemahuan orang muda di Indera Mahkota dipenuhi
Nasional

Kemahuan orang muda di Indera Mahkota dipenuhi 

KEDUDUKAN pengundi muda ketika ini agak unik kerana sukar untuk mengenal pasti sokongan golongan ini.

Pengundi muda lebih gemar meletakkan diri mereka di atas pagar dan sokongan golongan ini boleh berubah pada bila-bila masa.

Tidak dapat dinafikan bahawa undi anak muda begitu penting dan berkemungkinan boleh menjadi penentu kepada kemenangan parti-parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Persoalannya, apakah sebenarnya yang diinginkan oleh golongan muda?

Berkongsi hasrat anak muda, Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian bagi memenuhi kehendak golongan berkenaan.

Pertama, sejauh mana kerajaan boleh membantu mereka dari segi pengupayaan sara hidup dan yang kedua dari segi pengupayaan ekonomi.

“Pengupayaan ekonomi bermaksud bagaimana kerajaan menyediakan peluang berniaga kepada golongan ini dan memudahkan segalanya dari segi pinjaman dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Online.

Muhammad Faiz berkata, perkara ketiga diinginkan anak muda adalah peluang pekerjaaan dan keempat rumah mampu milik.

“Ini sebenarnya realiti anak muda pada ketika ini dan jika kerajaan boleh memperjuangkan empat perkara ini, insya-Allah Barisan Nasional (BN) akan memperoleh sokongan anak muda,” ujarnya.

Di Indera Mahkota, meskipun kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu, empat perkara itu dilihat dilaksanakan kerajaan BN.

“Di Indera Mahkota, dilaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) yang pastinya akan mewujudkan peluang pekerjaaan kepada anak muda di sini.

“Begitu juga dalam soal rumah mampu milik, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan untuk membina rumah Bina Negara (BN). Selain itu, kawasan ini turut dibangunkan rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1MA) dan rumah mesra rakyat melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Bagaimanapun,  katanua, terdapat juga permasalahan iaitu kesukaran anak muda untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

“Saya mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya mewujudkan konsortium bank khusus untuk memberikan pinjaman perumahan kepada orang muda.

“Isu tanah tiada masalah kerana kerajaan negeri boleh bantu, cuma dari segi pinjaman perumahan sehingga kini masih tiada penyelesaiannya,” katanya.

Orang muda harus diberi keyakinan bahawa BN adalah parti yang sentiasa bersedia membela nasib rakyat secara keseluruhannya walaupun ia sudah dilakukan sejak sekian lama.

Jangan sampai bila tiba masanya nanti, sokongan orang muda beralih arah kepada pembangkang kerana merajuk dengan BN. – UTUSAN ONLINE

Related posts