TAPAH: Tindakan pemandu lori yang mahu menukar lorong dari kiri ke kanan untuk mengelak kerja pembaikkan jalan telah menyebabkan 15 kenderaan lain terlibat dalam satu kejadian kemalangan berlapis di kilometer 321 berhampiran Chenderiang arah selatan Lebuhraya Utara Selatan.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, pemandu lori itu tidak berjaya memasuki lorong kanan menyebabkan ia melanggar belakang sebuah bas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak a/l Din Keliaw berkata pergeseran kedua kenderaan berat itu telah terkena satu lagi lori lain yang kemudiannya mengelongsor sebelum merempuh 13 kenderaan lain di hadapannya yang sedang bergerak secara perlahan.

“Kemalangan itu menyebabkan empat orang mengalami kecederaan,” katanya.

 

 

Som berkata laluan ke selatan sesak lebih empat kilometer menyebabkan perjalanan di lebuhraya PLUS arah selatan mengalami kelewatan selama 50 minit.

Pengguna lebuhraya menghala ke Selatan telah dilencongan menggunakan laluan alternatif berikutan semua laluan di lokasi kejadian ditutup bagi kerja-kerja mengalih kenderaan-kenderaan.