Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seramai 16 penumpang bas terselamat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori dan bas transit di hadapan Hotel Hill City, Gunung Rapat di sini pada pagi Rabu.

Bagaimanapun, kelindan lori tersebut mengalami kecederaan akibat kakinya yang tersepit dalam kemalangan itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berkata, pihaknya menerima makluman insiden berkenaan pada sekitar jam 8.56 pagi.

kemalangan-bas-lori 2

“Setibanya di lokasi kami mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas Perak Transit dan sebuah lori.

“Kesemua 16 penumpang selamat namun kelindan lori cedera akibat tersepit di bahagian kaki.

“Pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan kelindan lori itu menggunakan pemotong hidraulik dan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Tambah beliau, operasi ysng diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Madzlan Ismail itu tamat pada sekitar jam 9.47 pagi.

kemalangan-bas-lori 3