TAPAH 30 Julai – Kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa 40 penumpang dan tiga buah lori di Kilometer 321, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan awal pagi tadi telah menyebabkan kesesakkan sehingga lebih tujuh kilometer.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, kesemua penumpang bas dan pemandu empat kenderaan berat itu tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kemalangan berlaku setelah lori muatan perabut yang dipandu lelaki berusia 33 tahun hilang kawalan lalu melanggar lori membawa buah di hadapannya.

“Pelanggaran itu menyebabkan lori tersebut turut melanggar bas yang membawa 40 penumpang yang berada di laluan sebelah kiri sebelum sebuah lori lain dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori tersebut.

“Akibat kemalangan itu, laluan di lebuh raya menjadi sesak dan pihak PLUS telah membuka laluan alternatif di laluan arah utara untuk melicinkan pergerakan lalu lintas,” katanya.-UTUSAN ONLINE