KUALA KANGSAR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia hasil penemuan daun ketum di dalam kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini, pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, kira-kira pukul 6 pagi, anggota polis menerima maklumat mengenai kemalangan sebuah kereta di Jalan Raja Idris di sini.

Menurut beliau, apabila tiba di lokasi kejadian, dapati seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia mengalami kecederaan ringan.

Lelaki warga tempatan itu berumur 25 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan manakala wanita Indonesia berumur 22 tahun, bekerja sebagai operator pengeluaran.

“Pengadu bersama krew merasa curiga terhadap kedua-dua penama dan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan dan telah menjumpai dua plastik sampah berwarna hitam di bonet bahagian belakang kenderaan,” katanya di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, didapati plastik tersebut mengandungi daun ketum seberat kira-kira 10 kilogram.

Hasil ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua mereka negatif dadah dan mereka juga tiada rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.