BATU GAJAH – Laluan kedua-dua hala di Kilometer 13, Jalan Ipoh-Lumut terpaksa ditutup, hari ini selepas sebuah treler terbabas sebelum terbalik dan menyebabkan muatan simen yang dibawa bertaburan.

Kejadian jam 5.45 pagi itu, menyebabkan laluan terpaksa dilencongkan ke sebelah kiri laluan.

Sehingga jam 6 petang, laluan berkenaan masih ditutup berikutan kerja pengalihan lori dan muatan kampit simen belum selesai dilakukan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pihak syarikat kenderaan telah dimaklumkan kejadian itu bagi mempercepatkan proses pengalihan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, lori yang dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Lumut itu gagal mengawal kenderaannya dan melanggar pembahagi jalan.

“Selain muatan simen jatuh atas jalan, terdapat juga kesan tumpahan minyak. Pihak bomba dipanggil untuk melakukan kerja pembersihan.

“Pemandu berusia 45 tahun hanya mengalami luka di bahagian kaki dan telah mendapat rawatan di Hospital Fatimah, Ipoh,” katanya.

-Sinarharian