LENGGONG: Sepasang kanak-kanak kembar antara dua maut dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan tiga nyawa berhampiran lampu isyarat MRSM Lenggong, dekat sini pada pagi Ahad.

Mangsa, Muhd Hanif Ismail dan kembarnya, Nur Ain Hanifah Ismail, 8, serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, maut apabila kenderaan jenis Honda HRV mereka dirempuh sebuah lori muatan ikan dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan, kenderaan yang membawa enam sekeluarga itu sedang menuju ke Kuala Kangsar dari arah Terengganu untuk menghabiskan cuti sekolah.

Sementara itu, bapa mangsa, Ismail Yaacob, 53, dan ibu kanak-kanak, Zarina Yong, 44, mengalami kecederaan parah dan masing-masing dirujuk ke Hospital Taiping dan Hospital Kuala Kangsar bagi rawatan lanjut.

Seorang lagi anak mereka, Nur Ain Harizah,13, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa berkata, kemalangan yang melibatkan lima kenderaan itu berlaku berikutan lori ikan yang mengalami kerosakan brek lalu merempuh kenderaan keluarga tersebut.

“Siasatan awal mendapati lori muatan ikan tersebut telah merempuh sebuah Nissan Grand Livina dan Honda HRV yang berada di lorong kiri.

“Dua lagi kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Nissan Sentra pula berada di lorong kanan sewaktu kejadian,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan satu lagi keluarga yang menggunakan kenderaan jenis Nissan Grand Livina.

Afiq Syahid Hairollizam, 13, mengalami kecederaan dalaman di perut dan dihantar ke Hospital Taiping manakala ibubapa serta adik perempuannya cedera ringan.

Pemandu Toyota Hilux dan Nissan Sentra yang turut terlibat tidak mengalami sebarang kecederaaan.

Difahamkan, pemandu dan kelindan lori muatan ikan tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.