TANJUNG MALIM: Kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki muatan diesel dan van muatan duit di Kilometer (KM) 389.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara menyebabkan kedua-dua arah laluan lebuhraya terhalang dan sesak kira-kira 2 kilometer.

Menurut laporan awal dari Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada Rabu, pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 12.33 tengahari.

Katanya, seorang lelaki dari van tersebut maut manakala dua lagi cedera ringan.

Pemandu lori tangki pula mengalami cedera ringan.

Katanya, semua mangsa telah selamat dikeluarkan dari kenderaan masing-masing dan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh telah digerakkan ke lokasi susulan berlaku tumpahan diesel daripada lori tangki tersebut.

Sementara itu, laporan dari twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberitahu, trafik sesak sekitar 2 kilometer di kedua-dua arah iaitu Tanjung Malim- Behrang, lorong kanan dan tengah arah selatan juga terhalang.

Menurut laporan twitter itu lagi, berikutan kesesakan di Persimpangan Behrang, pengguna arah ke selatan dinasihatkan keluar di Persimpangan Slim River, manakala arah utara pula keluar di Persimpangan Tanjung Malim