Polis tidak mahu terburu-buru mengambil tindakan dalam siasatan kes kemalangan maut membabitkan lapan remaja di Johor Bahru bulan lalu demi menjamin keadilan dapat dilaksanakan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihak berkuasa mahu memastikan pesalah didakwa, tetapi pada masa sama mangsa juga mendapat pembelaan undang-undang.

Justeru, katanya, siasatan perlu dijalankan dengan teliti dan tidak tergesa-gesa.

“Ini kes yang begitu penting. Polis tak boleh menjalankan siasatan secara terburu-buru dan ambil mudah sahaja.

“Kita mahu pastikan mereka yang bersalah diambil tindakan,” katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Sebelum itu Noor Rashid menghadiri perasmian Seminar Belia dan TN50: Perspektif Keselamatan Negara.

Dalam kejadian pada awal pagi 18 Februari lalu, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera apabila basikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, dekat Johor Bahru.

Seorang wanita yang memandu kereta itu juga mengalami kecederaan ringan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Noor Rashid berkata, polis akan memastikan pihak yang bersalah dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan bukti kukuh.

“Kalau kita terburu-buru, nak tuduh tanpa bukti kukuh, akhirnya kita kalah dalam perbicaraan tersebut.

“Iia satu penganiyaan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” tegas Noor Rashid.

-MalaysiaKini