ULU KINTA: Pengusaha kuari digesa mengambil iktibar daripada dua kes kematian di tempat kerja tahun lalu dengan  memperketatkan lagi ciri-ciri keselamatan di tapak kuari.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) , Ir Mohd Hatta Zakaria berkata daripada 16 kes kematian tempat kerja direkodkan tahun 2017 dua merupakan kematian di tapak kuari.

Katanya, kemalangan baik dari segi kematian atau kehilangan keupayaan (Hilang Upaya Kekal) mendatangkan penderitaan dan kehilangan bukan sahaja kepada diri pekerja dan keluarga malah turut memberikan kerugian kepada majikan dan negara amnya.

“Jika dibandingkan, terdapat peningkatan dari segi kemalangan tempat kerja di seluruh negeri Perak iaitu daripada 13 kes ke 16 kes namun secara keseluruhannya, kesedaran untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan ada sedikit peningkatan.

“Berdasarkan rekod audit KKP, 15 daripada 32 kilang kuari telah mendapati Gred D, dan ini meliputi 70 peratus daripada jumlah kuari di seluruh negeri.

“Langkah pencegahan, adalah lebih penting kerana buat masa ini hanya 10-15 peratus yang tidak memperoleh penggredan pihak kami, namun kebanyakan mereka ingin mematuhinya kerana menumpukan soal produktiviti di sektor penguarian masing-masing.

“Apa yang penting, adalah memastikan semua pekerja datang kerja selamat, kerja di tempat yang selamat dan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan sihat dan selamat,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena “OSH Engagement” Bersama TNB dan Persatuan Kuari Negeri Perak di Aras 4, Bangunan TNB, dekat sini pada Isnin.

Ir Mohd Hatta menegaskan bahawa pengusaha dan pekerja harus bersama untuk meningkatkan dan memberi perhatian terhadap tahap keselamatan dan kesihatan di dalam sesebuah lokasi tempat kerja.

“KKP ini harus ditingkatkan kerana kesihatan dan keselamatan adalah tertakhluk kepada majikan, yang menunjukkan risiko di tempat kerja itu. Siapa yang bekerja dekat risiko ini juga turut bertanggungjawab

“Langkah-langkah pencegahan ini harus dimulakan segera, bukan menunggu kemalangan baru nak bertindak,”katanya lagi.

Katanya, pihaknya akan menumpukan audit di sektor pengilangan, pembinaan dan penguarian pada tahun ini khusus dari segi keselamatan dan kesihatan baik majikan atau pekerja.

Sementara itu, Ir Mohd Hatta menyatakan JKKP pada tahun 2017 telah menjalankan 1831 audit dan pemerikaan di tempat kerja manakala sebanyak 3,435 surat arahan dan 1699 notis dikeluarkan oleh pihak pegawai.

Katanya, sepanjang tahun 2017, sebanyak 29 pendakwaan dan 100 kompaun telah diberikan kepada pelbagai sektor termasuk pengilangan, pembinaan dan kuari dengan jumlah 420,00.00.

Menurut Ir Mohd Hatta, dua daripada kes kematian di sektor pengkuarian itu melibatkan maut ketika kenderaan jatuh ke tebing curam dan satu lagi kes terkena renjatan elektrik di Perak.