KUALA KANGSAR: Kemalangan membabitkan dua buah kereta dalam Terowong Menora menghala ke utara menyebabkan beribu pengguna lebuh raya Utara Selatan terperangkap dalam kesesakan.

Kemalangan yang berlaku di kilometer 261 pada 11.30 pagi itu menyebabkan kenderaan langsung tidak bergerak sepanjang beberapa kilometer.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Zaid Abd Aziz berkata tiada mangsa cedera dalam insiden membabitkan Proton Saga dan Proton Saga Aeroback.

“Anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk sebaik menerima panggilan pada jam 11.31 pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati tiada mangsa di dalam kedua-dua kereta tersebut.

“Anggota kemudiannya bertindak melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Isnin.

Tambah beliau, operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 12.08 tenghari tadi.