LUMUT– Kementerian Pertahanan Malaysia bersedia untuk mengemaskini dasar pertahanan negara, selain menerbitkan Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan cabaran dihadapi negara dalam tempoh tertentu.

Menurut Timbalannya, Senator Liew Chin Tong, kemaskini itu penting selaras dengan perkembangan geo-politik serantau serta menjadi keperluan negara untuk mengemaskini keupayaan ketenteraan.

“Kertas Putih Pertahanan ini adalah satu praktis dan kelaziman di negara lain di mana mereka akan menggariskan cabaran yang akan dihadapi dalam jangka panjang atau midterm.

“Dengan Kertas Putih ini, soalan-soalan berkenaan pertahanan, isu berapa ramai anggota kita perlukan serta dasar pertahanan, semua boleh diambil kira dan diberi hala tuju untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hampir 10 tahun belum dikemaskini (dasar pertahanan), kita juga bersetuju untuk memberikan hala tuju lebih jelas bukan sahaja kepada Kementerian dan ATM tapi juga melibatkan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas merasmikan upacara Peletakan Lunas Kapal Littoral TLDM keempat (LCS4) di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Pangkalan TLDM, di sini pada Rabu.

Yang turut sama, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Berhad (BHIC), Laksamana Madya Tan Sri Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd Nor (Bersara).

Peletakan lunas itu merupakan aktiviti permulaan penyambungan blok kapal secara modular di atas keel line pembinaan serta simbolik permulaan pembinaan badan sesebuah kapal.

LCS4 daripada jenis kelas Gowind yang dilengkapi keupayaan persenjataan kuasa tempur dan sistem pertahanan empat dimensi peperangan iaitu udara, darat, air serta elektronik.

Kapal ini turut dilengkapi ciri-ciri serang hendap yang sukar dikesan selain mampu menampung 118 anak kapal termasuk sebuah helikopter dan pasukan khas.

LCS4 merupakan Projek Nasional yang melibatkan pembinaan kapal julung kali direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh warga tempatan, dengan bantuan perundingcara dari Naval Group, Perancis.