BATU GAJAH – Kematian seorang anggota polis dengan kesan tembakan di kepala di Balai Polis Pekan Baru, 24 Oktober lalu ada kaitan dengan pelakuan bunuh diri.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini, tiada keterangan menunjukkan terdapat unsur jenayah terhadap anggota berkenaan.

“Kita percaya ia disebabkan perbuatan bunuh diri, namun kita masih siasat apakah sebab yang membawa kepada kelakuan itu.

“Ia lebih menjurus kepada masalah peribadi, bukan disebabkan tekanan kerja, namun kita masih menunggu laporan Jabatan Kimia,” katanya ketika ditemui pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah, hari ini.

Beliau berkata, senjata api MP 5 yang ditemui bersama mangsa disahkan didaftarkan dibawah PDRM.

Katanya, polis telah mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, anggota polis berpangkat lans koperal berusia 29 tahun ditemui mati dengan satu kesan tembakan menembusi kepala.

Mangsa ketika itu lengkap beruniform dipercayai baru selesai bertugas

mengawal kawasan balai dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Mangsa berasal dari Selangor dan masih bujang bertugas di Balai Polis Pekan Baru sejak 2009.

Dalam majlis itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah yang baharu berkuatkuasa, hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari yang bersara wajib, 5 November depan – sinar