BAYI lelaki yang meninggal dunia ketika dilahirkan tanpa pengetahuan keluarga ibunya di Taman Gasing, Kangar, semalam, diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, tiada unsur jenayah yang mengakibatkan bayi berkenaan meninggal dunia.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Setakat ini tiada tindakan atau tangkapan akan dilakukan terhadap ibu mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, wanita berusia 22 tahun berkenaan melahirkan anak seorang diri di rumah di Taman Manggis sebelum bayi itu tersedak dan meninggal dalam pangkuannya.

Kejadian itu hanya disedari abang wanita itu yang terjaga dari tidur pada 6 pagi selepas terdengar suara orang mengerang kesakitan dari bilik tidur adiknya.

Lelaki itu kemudian masuk ke bilik adiknya dan mendapati wanita itu terbaring di lantai dalam keadaan tidak bermaya bersama seorang bayi laki dalam keadaan berlumuran darah.

Bayi yang sempurna keadaannya itu, bagaimanapun didapati tidak lagi bergerak sebelum disahkan meninggal dunia akibat tersedak sebaik tiba di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Sementara itu jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu mengejutkan penduduk kawasan perumahan berkenaan kerana wanita terbabit tidak dilihat seperti mengandung.

“Ramai tidak menyangka kerana latar belakang keluarga berkenaan yang baik,” katanya ketika ditemui di Kangar – hmetro