BANGKOK: Insiden kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang tewas dalam pertandingan tinju Thailand, mencetuskan perdebatan hangat sama ada kanak-kanak akan dibenarkan lagi mengambil bahagian dalam sukan terbabit yang kebanyakan dilihat mereka sebagai jalan keluar dari kepompong kemiskinan.

Dalam kejadian itu, Anucha Kochana disahkan meninggal dunia semalam, akibat pendarahan otak selepas dia tewas dalam satu pertandingan tinju yang diadakan di pinggir bandar Bangkok, petang kelmarin.

Seperti diketahui, tinju Thai atau Muay Thai antara sukan paling diminati di Thailand di mana jutaan kanak-kanak lelaki memasang impian untuk menjadi kaya selain dapat membantu meringankan bebanan keluarga.

Tetapi, sukan terbabit tidak menetapkan peraturan kepada had umur kanak-kanak yang menyertai perlawanan dianjurkan sehingga mereka berisiko mendapat kecederaan serius atau lebih serius seperti mana kes Anucha itu.

Namun begitu, saudara mara lelaki kanak-kanak malang itu yang memberitahu media bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan di atas kematiannya.

Tetapi penggubal undang-undang yang dilantik kerajaan tentera itu sudah pun mengetatkan peraturan bagi mengharamkan kanak-kanak bawah 12 tahun daripada menyertai sukan profesional terbabit.

Walau bagaimanapun, usaha terbabit ditentang sekeras-kerasnya peminat tinju di negara itu. -Reuters.