IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum dapat mengesahkan berita kematian ketua militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya kini masih lagi memantau kesahihan berita berkenaan yang mendakwa pengganas itu telah terkorban dalam satu serangan baru-baru ini.

Menurut beliau, PDRM akan mengeluarkan satu kenyataan khas sebaik sahaja kematian Muhammad Wanndy dapat disahkan.

“Baru-baru ini kita telah dapat berita Wanndy telah terbunuh dalam satu serangan di Syria tetapi hingga hari ini kita belum dapat pengesahan, kita sedang memantau perkara itu.

“Mungkin apabila kita dapat sahkan berita ini, kita akan buat satu kenyataan khas, kalau betul berita ini rasanya ia berita baik dalam usaha kita memerangi keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikkian pada sidang media selepas menghadiri majlis serah tugas Ketua Polis Perak Datuk Seri Abd Rahim Hanafi kepada timbalannya Datuk Hasnan Hassan di sini pada Selasa.

Muhammad Wanndy atau turut dikenali sebagai Abu Hamzah Al-Fateh dipercayai merupakan Ketua Militan Daesh Asia Tenggara dan dalang kepada beberapa serangan di rantau ini.

Pada 29 April lalu, isteri Muhammad Wanndy, Nor Mahmudah Ahmad, 28, memuat naik status di laman Facebook membayangkan bahawa suaminya itu telah terbunuh dalam serangan menggunakan dron di Ma’dan, Syria.