Jarang sekali kedengaran sorakan anak-anak kecil bermain gasing di waktu lapang, paling tidak sebilangan daripada mereka sudah beralih kepada permainan di gajet masing-masing.

Gasing pernah menjadi salah satu permainan warisan Melayu yang popular, namun kini ia semakin tenggelam mengikut peredaran zaman dan hanya dimainkan mengikut musim.

Perkara itu diakui Umar Abdul Rahman, dari Persatuan Gasing Perak yang menurutnya kemahiran membuat dan bermain gasing kini terhad kepada golongan pertengahan umur di beberapa daerah negeri Perak.

IMG-20170511-WA0177 (1)

“Budak-budak sekarang kalau tengok gasing pun tidak kenal, apatah lagi cara hendak main, sebab itu melalui persatuan, kita mahu terapkan semula permainan warisan ini,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui baru-baru ini.

Selain menghasilkan sendiri gasing di Sayong, Kuala Kangsar, Umar bersama-sama ahli persatuan yang lain turut mengambil bahagian dalam pertandingan gasing di beberapa buah negeri seperti Johor dan Pahang.

“Untuk pertandingan, kita akan ikut standard kebangsaan dari segi berat dan ukur lilit gasing, namun kebiasannya di Perak, kita main gasing pangkah dan uri.

“Berat gasing tidak boleh melebihi 800 gram dan 17cm ukur lilit,”ujarnya yang sehingga kini menjadikan permainan gasing sebagai hobi.

IMG-20170511-WA0180 (1)

Pemilihan Kayu Penting 

Menurut salah seorang pemain gasing, Mohd Dasuki Abdul Rahman, cara pembuatan gasing kini lebih mudah berbanding dahulu disebabkan pengunaan mesin moden.

“Dahulunya guna cara dan teknik lama seperti menarah dengan parang atau golok, kiranya dalam sehari cuma boleh dapat sebiji gasing.

“Berbeza dengan sekarang yang perlukan masa hanya satu jam bagi sebiji gasing,” kata Mohd Dasuki.

Sementara itu, Umar menjelaskan kayu dari pokok Halban, Keranji dan Tualang sangat sesuai digunakan untuk membuat gasing kerana ia lebih kuat dan tahan lama.

Beliau memberitahu, lazimnya tempoh setahun diperlukan setelah pokok itu ditebang sebelum ditarah menjadi gasing.

IMG-20170511-WA0174

“Bahagian pokok paling sesuai adalah di pangkalnya dan kita tidak akan mengambil kayu di bahagian atas kerana ia masih lembut.

“Kayu untuk gasing tahun ini merupakan pokok yang kita tebang tahun lepas, maknanya kita akan simpan selama setahun dulu untuk pastikan ia benar-benar kering, untuk mengelakkannya mudah pecah,” kata Umar.

Pendedahan Mengenai Gasing 

IMG-20170511-WA0176 (1)

Ternyata permainan ini merupakan medium bagi merapatkan hubungan masyarakat, konsep yang dimainkan secara berkumpulan menonjolkan ciri-ciri muafakat sebagaimana yang diamalkan oleh orang terdahulu.

Seharusnya anak-anak muda, khususnya diberi pendedahan mengenai gasing, setidak-tidaknya mereka menghidupkan kembali sukan sihat itu berbanding hanya hebat menerusi aplikasi permainan alam maya.