SHAH ALAM – Penentuan harga minyak menerusi kaedah apungan terkawal sejak 2014 memperlihatkan pelbagai reaksi daripada rakyat negara ini.

Ada pihak bersetuju dan ada pihak yang menolak kaedah berkenaan dengan alasan pemberian subsidi minyak kepada rakyat negara ini perlu diteruskan.

Bermula Mac lalu, kerajaan menambah baik kaedah penentuan harga minyak daripada bulanan kepada mingguan.

Menerusi ruangan cadangan rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sesawang https://bajet2018.najibrazak.com pelbagai pandangan diutarakan mengenai harga petrol.

Antara cadangan lain yang menerima sokongan tinggi adalah kerajaan perlu mengembalikan semula subsidi petrol kepada rakyat.

Bagi Ranjit Muniandy, dia mencadangkan pemberian subsidi itu perlu lebih sistematik iaitu menggunakan MyKad.

“Pelaksanaannya perlu lebih sistematik iaitu menggunakan MyKad bagi urusan subsidi petrol dan kaedah tersebut dapat mengehadkan perbelanjaan, serta memastikan hanya warganegara Malaysia mendapat keistimewaan itu,” katanya.

Mmelvyn D’Cruz turut mencadangkan kad diskaun petrol bagi pendapatan RM3,000 ke bawah diperkenalkan.

“Kad berkenaan perlu mempunyai gambar pemilik, nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya.

Manakala bagi Hazman Ghazali, dia mengharapkan kerajaan memperkenalkan satu mekanisme menetapkan harga minyak RON95 kepada satu harga kekal dan berkuota.

“Sebagi contoh Ron 95 ditetapkan sebanyak RM1.50 seliter dengan kuota sebanyak 20 liter pertama dan harga selepas itu mengikut harga pasaran bagi setiap kenderaan,” katanya.

-Sinarharian