KUALA LUMPUR: Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) menganjurkan kembara mencari harta karun ‘World of Wonders’ NPC-Perak 2017 terbuka kepada penyertaan media dan orang awam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pangkor pada 16 Sept ini.

Kembara itu diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017 dan bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Wartawan NPC.

“Dimulakan pada 2006, Tabung Kebajikan Wartawan itu membantu para wartawan dan anggota keluarga mereka menerusi sumbangan sekiranya berlaku kematian semasa tugasan atau ditimpa penyakit,” kata Presiden NPC, Datuk Mokhtar Hussain dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih daripada 70 profesional media termasuk wartawan, bekas wartawan dan jurugambar serta keluarga mereka menerima sumbangan daripada tabung itu di seluruh negara.

Peserta kembara mencari harta karun itu akan bermalam di Puteri Bayu Beach Resort di Pulau Pangkor.

Mokhtar berkata, kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi sokongan penuh kepada kembara ini yang akan menyaksikan penyertaan kira-kira 300 pencari harta karun menaiki 70 kereta dalam kategori media dan terbuka.

NPC turut mengundang Zambry sebagai penaung acara itu dan menyampaikan hadiah pada majlis makan malam pada 16 Sept di resort berkenaan.

Kembara mencari harta karun NPC diadakan sejak 1994, juga bertujuan memupuk muhibah dan rangkaian dalam kalangan media, rakan korporat dan penaja serta orang awam.

Tiga hadiah utama pertandingan itu ialah RM5,000, RM3,000 dan RM2,000. Cabutan bertuah akan turut diadakan pada majlis penyampaian hadiah itu nanti.

Borang penyertaan boleh didapati di NPC di 84, Jalan Tangsi, 50480 Kuala Lumpur. Pendaftaran dalam talian boleh dilakukan di laman web NPC www.nationalpressclub.org.my/treasurehunt.

Borang yang lengkap perlu dihantar bersama-sama yuran penyertaan kepada NPC atau fakskan ke 03-2691 6331 dengan slip bank (tertera nama peserta) sebagai bukti pembayaran ke akaun Maybank bernombor 564258-410498. Cek pula mestilah dibuat atas nama ‘The National Press Club Malaysia (1992)’. Tarikh tutup penyerahan borang penyertaan ialah pada 4 Sept ini.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada Pengurus Kelab NPC Steven Foo di talian 03-2694 0525, faks: 03-2691 6331 atau (telefon bimbit) 019-245 8073 atau pun e-mel kepada nationalpressclub@ gmail.com.

— BERNAMA