IPOH: Kemelut yang melanda Unit Tahfiz Al-Barakah sejak lebih sebulan lalu, akhirnya terlerai apabila pengurusan unit tersebut diambilalih secara rasmi oleh Pusat Pengajian Al-Ulya.

Majlis menandatangani perjanjian penyerahan unit itu diadakan di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, di sini, hari ini.

Perjanjian ditandatangani Timbalan Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Barakah, Mior Ahmad Ramdzan Mior Razali dan Setiausaha Pusat Pengajian Al-Ulya, Mohamad Hafizi Mohamad Nor.

Hadir sama Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias yang lebih dikenali Ustaz Kazim dan Pengerusi Pusat Pengajian Al-Ulya, Mohd Azhar Abdul Latif.

Ustaz Kazim berkata, walaupun pengurusan unit tahfiz itu bertukar tangan secara rasmi mulai 1 September ini, tetapi ia tetap beroperasi di tempat yang sama, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Mereka akan mengambilalih semua harta seperti peralatan mengajar, peralatan asrama, kantin dan lain-lain, termasuk kakitangan, cuma premis masih menjadi hak milik Al-Barakah,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Awal Julai lalu tular di dalam media sosial mengenai penjualan unit tahfiz berkenaan yang dikatakan menghadapi masalah kewangan.

Menurut Ustaz Kazim, selepas penyerahan itu, beliau tidak akan campur tangan di dalam pengurusan unit tahfiz itu dan menyerahkan kepada pihak pengurusan baharu untuk meneruskan hala tuju, termasuk dari segi silibus.

“Secara peribadi, saya serah terus bulat-bulat kepada mereka kerana tidak mahu timbul konflik, cuma kalau mereka ada masalah, saya sedia beri khidmat nasihat,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap, pengurusan baharu dapat meneruskan kecemerlangan unit tahfiz itu yang telah banyak mengharumkan nama negeri Perak dan Malaysia.

Katanya, antara kejayaan unit itu ialah menjuarai pertandingan hafazan peringkat kebangsaan beberapa kali dan menerima jemputan daripada negara-negara timur tengah, di samping menjadi contoh beberapa sekolah pondok di negara-negara jiran.

Menurut Ustaz Kazim, dengan penyerahan itu, bermakna Pusat Pendidikan Al Barakah kembali kepada asal penubuhannya pada 2006 dengan hanya mengendalikan pondok pengajian dewasa yang setakat ini mempunyai antara 400 dan 500 pelajar.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar tahfiz untuk menerangkan mengenai pertukaran pengurusan di samping mendapatkan maklum balas mengenai masa depan anak-anak mereka.

Selepas itu, kata beliau, pihaknya akan mengambil pelajar baru bagi memastikan bilangannya 100 orang, termasuk 25 pelajar perempuan.

“Setakat ini, bayaran yuran adalah RM400 sebulan dan selepas pertukaran pengurusan, kemungkinan ada sedikit kenaikan yuran bagi menampung kos,” ujarnya sambil memberitahu, pihaknya juga akan berusaha untuk mencari dana tambahan melalui sumbangan.