KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan hasil usaha semua parti komponen gabungan dan bukan usaha individu tertentu semata-mata.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejayaan di Tanjung Piai merupakan bukti kekuatan BN sehingga mencapai kemenangan besar.

“Saya rasa tiada individu boleh menuntut kredit di atas kemenangan tersebut, itu sentiasa menjadi kekuatan BN.

“Kemenangan kita bersama tidak boleh diletakkan di atas bahu seorang individu sahaja. Ia mustahil.

“Kita mencapai kemenangan besar kerana usaha semua pihak yang berkempen untuk Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Yang Berhormat Tanjung Piai,” katanya semasa ditemui di lobi Dewan Rakyat pada Isnin.

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas pertanyaan mengenai sumbangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menjadi faktor besar kemenangan BN di Tanjung Piai.

Jeck Seng pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai bermula 2008 sebelum ini tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan 524 undi.

Dalam pada itu Hishammuddin yakin, pengalaman Jeck Seng selama 10 tahun sebagai wakil rakyat Tanjung Piai sebelum ini akan membuahkan hasil cemerlang demi kepentingan dan masa depan kawasan itu sendiri.

“Insya-Allah, seperti mana kesungguhan berkempen untuk memenangkan beliau, saya akan terus bantu dengan sedaya upaya saya demi memastikan suara Tanjung Piai didengar sekerap mungkin di Dewan Rakyat! Work starts now.

“Masanya sudah sampai untuk memastikan bahawa janji-janji kepada rakyat di Tanjung Piai dapat ditunaikan,”  ujarnya.

Jelasnya, BN sendiri tidak sempurna, namun kemenangan itu memberi suntikan untuk mereka meneruskan perjuangan selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas.