IPOH: Kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu semalam dengan majoriti lebih besar membuktikan rakyat Sarawak memberikan sokongan padu kepada kepimpinan BN negeri itu dan Pusat.

 

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kemenangan besar itu juga membuktikan calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu mendapat kepercayaan rakyat Sarawak dan merupakan calon paling sesuai untuk menyambung segala inspirasi dan dasar yang dipelopori Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

 

“Allahyarham Tan Sri Adenan Satem amat disenangi rakyat Sarawak dan kemenangan calon BN membuktikan mereka menaruh penuh keyakinan kepada BN negeri dan Pusat,’’ katanya.

 

Ka Chuan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Wanita MCA Perak di Wisma Persatuan Bulan Sabit Merah, Ipoh pada Ahad.

 

Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Johnny Aput yang memperoleh 108 undi dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit (130 undi) dalam pertandingan tiga penjuru.

 

Berbekalkan ‘Semangat Adenan’, Jamilah, yang merupakan balu Ketua Menteri Sarawak kelima itu menjadi pilihan kepada sejumlah 6,891 daripada keseluruhan 9,959 pengundi Tanjong Datu yang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kerusi DUN itu.

 

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, Adenan, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.