Kementerian Pendidikan akan mengadakan beberapa siri mesyuarat teknikal dalam masa terdekat bagi membincangkan dasar untuk membenarkan pelajar di negara ini membawa alat peranti ke sekolah dan jenis-jenis peranti yang akan dibenarkan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mesyuarat teknikal yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementeriannya itu akan meminta pandangan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (skmm) dan agensi-agensi teknikal negara.

“Ianya mengenai dasar pendidikan sedia ada yang tidak membenarkan pelajar-pelajar membawa peranti sekolah jadi kita bercadang untuk mengubah dasar berkenaan supaya peranti boleh dibawa ke sekolah.

“Tapi keputusannya masih lagi belum muktamad, kita sedang mengkaji jenis-jenis peranti yang sesuai untuk dibenarkan kerana di luar negara laptop atau tablet dibenarkan namun telefon bimbit tidak, jadi kita sedang kaji itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian SMK Kampong Perak, di Batu Kurau pada Khamis.

Namun kata beliau dasar berkenaan ketika ini di dalam peringkat cadangan dan pelajar masih lagi terikat dengan dasar lama iaitu sebarang peranti tidak dibenarkan dibawa ke sekolah sehingga kementerian membuat satu keputusan baharu mengenainya.

Tambahnya lagi, cadangan itu dibuat bagi memastikan dasar pendidikan negara dapat dimantapkan mengikut peredaran zaman serta teknologi yang semakin berkembang.

“Zaman dah berlalu, teknologi telah semakin maju dan semuanya melibatkan digital jadi takkan kita tak benarkan mereka bawa peranti..bagi saya ianya sesuatu yang tidak kena,” jelas beliau.