IPOH –  Kementerian Kesihatan memandang serius kejadian berulang bagi kes keracunan makanan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penyedia makanan jika didapati ia berpunca daripada mereka.

Katanya, pihak kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) mengenai kes keracunan makanan dan siasatan terperinci akan dibuat berhubung kes tersebut.

“Apabila berlaku (kes keracunan makanan, pertama kita akan tutup premis, kedua kita akan buat contact tracing bagi mengenalpasti keracunan makanan tersebut kuman itu datang dari mana.

“Ketiga kita akan buat pemeriksaan terhadap pengendali makanan, pengusaha kanti bagi memastikan bukan mereka yang membawa kuman tersebut. Jika kes itu berulang kali kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui hadir menerima sumbangan Tabung Harapan di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Boon Chye berkata, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas operator makanan jika mereka tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sebagai contoh pengendali makanan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan dari segi penjagaan kebersihan dan juga dari segi keperluan mendapatkan vaksin dan sijil pengendali makanan.

“Ini kita boleh ambil tindakan undang-undang untuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Boon Chye berkata,  dalam perkembangan sama, tanggungjawab memastikan keracunan makanan tidak berlaku bukan terletak pada Kementerian Kesihatan semata-mata.

Menurutnya, pihak pengusaha kantin dan sekolah sepatutnya membantu memantau supaya kebersihan tempat makan itu dijaga dengan baik – sinar