PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan.

“Hasil pemantauan kementerian dari Januari lalu sehingga kini, sebanyak 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam dianalisis dan didapati sebanyak 21 sampel cili atau 4.2 peratus tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak dan tindakan penguatkuasaan sudah dijalankan.

“Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan cili merah import dari Vietnam masih terdapat di pasaran tempatan walaupun kerajaan telah menggantung permit import hasil pertanian itu sejak 14 September lalu.

Katanya, semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terbabit seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

“Kegagalan mematuhi peraturan itu adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya – berita harian