KUALA LUMPUR: Raih untung berjuta ringgit dengan mempertaruhkan nyawa pelanggan hingga ada mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital.

Itu antara tindakan sebuah syarikat jualan langsung berbilang peringkat (MLM) yang menjual produk ubat ajaib didakwa mampu menyembuhkan sakit kanser, hepatitis, gout, asma, sifilis dan pelbagai jenis penyakit rumit dalam tempoh enam hari.

Bagaimanapun, produk didakwa diimport khas dari Peru, Amerika Selatan itu disahkan mengandungi tujuh jenis racun berbahaya iaitu Dexamethasone, Chlorpheniramine, Ibuprofen, Chloramphenicol, Clarithromycin, Tetracycline dan Lovastatin.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan berkata, pihaknya menerima aduan beberapa mangsa dimasukkan di beberapa hospital di Pahang dan Pulau Pinang baru-baru ini selepas mengambil produk berkenaan.

Susulan aduan diterima itu, pihak BPF, diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan Operasi BPF, Adnan Salimin, menjalankan risikan sebelum berjaya mengesan ibu pejabat syarikat itu di Desa Pandan di sini.

“Susulan itu, pegawai BPF dari ibu pejabat dan cawangan Kuala Lumpur bertindak melakukan serbuan di syarikat itu jam 11.30 pagi semalam.

“Hasil serbuan itu kemudian membawa kami ke sebuah unit kondominium berhampiran yang dijadikan markas untuk menyimpan dan mengedarkan produk berkenaan,” katanya.

Adnan berkata, seramai lima individu yang mendiami unit kondominium di tingkat sembilan itu ditahan untuk soal siasat.

“Berdasarkan siasatan, produk itu diedarkan melalui dalam talian kepada pengguna di seluruh negara.

Kebanyakan mangsa tertarik untuk membeli dan menyertai kegiatan syarikat itu yang menawarkan bonus pelbagai peringkat dengan dijanjikan keuntungan sehingga RM4 bilion.

“Walaupun kelihatan tidak masuk akal, promosi yang dijalankan menyebabkan ramai mangsa sanggup membayar RM400 bagi sekotak produk berisi 30 biji kapsul,” katanya.

Menurutnya, serbuan serentak turut dilakukan pegawai BPF di negeri Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah.

“Lebih 600 kotak produk jenama ATC Herbs dirampas dengan anggaran nilai lebih RM300,000 dan berdasarkan maklumat daripada komputer milik suspek, mereka berjaya memperoleh lebih RM16 juta hasil jualan produk itu,” katanya.

Adnan berkata, mangsa yang memakan produk itu mendakwa mengalami kesan sakit perut, masalah kekuningan dan hilang selera makan.

“Ujian darah untuk enzim hati melebihi 40 kali ganda lebih daripada paras normal. Campuran ubat steroid, ubat tahan sakit dan ubat anti kolestrol boleh menjadi punca keracunan terutama kepada hati.

“Malah, kandungan tiga kimia antibiotik berbeza di dalam produk ini boleh menyebabkan tubuh hilang upaya melawan penyakit berjangkit dan kuman bakteria,” katanya.

Menurutnya, individu yang menjual produk itu boleh didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 kerana memiliki racun untuk tujuan jualan tanpa lesen sah dan Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952 – berita harian