Miri: Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan pembelian diesel secepat mungkin untuk mengatasi masalah kekurangan bahan api itu di beberapa sekolah di utara Sarawak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu dibuat bagi memastikan masalah kekurangan bahan api diatasi sebelum sesi persekolahan bermula 27 Jun ini.

Beliau berkata, kementerian berkaitan akan melakukan pembelian minyak diesel untuk diagihkan kepada sekolah yang memerlukan bahan api itu.

“Kementerian berharap masalah berkenaan dapat diatasi segera bagi membolehkan pelajar meneruskan sesi pembelajaran tanpa masalah apabila sekolah dibuka tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Masih banyak sekolah di Sarawak, khususnya di pedalaman kawasan utara bergantung sepenuhnya kepada stesen jana kuasa untuk membekalkan tenaga elektrik bagi kegunaan sekolah masing-masing.

Ia berikutan banyak sekolah terpencil di luar bandar tidak memiliki sebarang rangkaian bekalan tenaga elektrik seperti sekolah di bandar.

Maszlee berkata, terdapat 369 sekolah di Sarawak masih bergantung kepada sumber tenaga daripada jana kuasa untuk beroperasi.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya akan memantau situasi itu dan memastikan masalah kekurangan bahan api di sekolah luar bandar di Sarawak diatasi segera.

“Kementerian akan memastikan semua sekolah yang kekurangan bahan api itu akan mendapat bekalan diesel dalam tempoh terdekat, ” katanya – berita harian