Oleh:Nazialita Geynna Maharan
IPOH: Kementerian Sumber Manusia bakal melancarkan satu inisiatif bagi golongan B40 untuk membantu mereka mendapatkan maklumat mengenai PERKESO, skim perlindungan insuran keselamatan sosial.
Menterinya, M Kulasegaran berkata idea itu tercetus berikutan kesedaran wujud antara golongan tersebut yang berdepan masalah mendapatkan maklumat tepat atau peluang bertemu pegawai jabatan berkenaan sekaligus membiarkan masalah mereka tergantung.
Katanya,buat masa ini Parlimen Ipoh Barat akan menerajui Program Kaunter Khidmat Pelanggan PERKESO di kawasan setempat untuk mendapatkan maklum balas orang ramai.
“Saya rasa banyak kes mereka melibatkan tidak ada masa, tidak tahu mengenai bantuan PERKESO dan cara-cara menyelesaikannya, jadi hari ini kita turun padang dan mengumpul maklumat mengenai aduan dan isu rakyat.
‘”Sekiranya ianya berjalan dengan baik, dan ada permintaan daripada orang ramai maka akan kita teruskan di 222 Parlimen seluruh negara,”katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Perasmian Kaunter Khidmat Pelanggan PERKESO pertama di Malaysia, di Pasar Kampung Tawas, dekat sini pada Sabtu.
Jelasnya, bukan semua rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi justeru mereka memerlukan khidmat kaunter-kaunter yang beroperasi sekitar dua jam di kawasan pasar tersebut.
Malah, Kulasegaran juga bercadang memberikan surat mengenai kehadiran kaunter khidmat PERKESO kepada majikan di kawasan berhampiran dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menguruskan masalah pekerja atau pesara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Azman Aziz Mohammed berkata buat masa ini kebanyakan kes melibatkan pekerja tidak mempunyai pengetahuan asas tentang maklumat caruman dan kelayakan mereka.
“Adakalanya, kami juga berjumpa dengan pekerja yang tidak tahu lokasi, cara dan prosedur tepat untuk berjumpa atau mendapatkan maklumat daripada kami, khususnya apabila mereka ditimpa masalah.
“Justeru, kita akan mengerahkan skuad prihatin PERKESO kita untuk mendapatkan data dan maklumat daripada sesetengah warga kerja, sebelum mereka cuba mendapatkan tindak balas daripada orang ramai,”ujarnya lagi.
1/2