Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan bapa kepada seorang murid yang berkata anaknya dipaksa mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.

Sebaliknya, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Amin Senin berkata, berdasarkan semakan pihaknya mendapati murid tahun tiga M Luganeshvari yang berumur sembilan tahun itu telah mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak memulakan alam persekolahan pada tahun 2017.

Dalam kenyataan media hari ini, Amin berkata, Luganeshvari sehingga kini mengambik subjek Pendidikan Moral meskipun semakan terperinci menunjukkan murid tersebut telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai seorang yang beragama Islam di mana ibunya seorang beragama Islam.

“KPM ingin memaklumkan bahawa di bawah Akta Pendidikan 1996 setiap murid beragama Islam perlu mengikuti Pendidikan Islam. Pendidikan Islam merupakan subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

“Mana-mana murid yang beragama Islam berhak mendapat Pendidikan Islam sama ada di sekolah kerajaan, bantuan kerajaan mahu pun di mana-mana sekolah swasta di Malaysia.

“Pihak sekolah pula mematuhi perkara ini berdasarkan bukti murid terbabit adalah seorang murid yang beragama Islam. Oleh itu tidak timbul isu murid terbabit telah dipaksa mengikuti Pendidikan Islam,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan P Manivanan, 50, yang merupakan bapa kepada Luganeshvari mendakwa anaknya “dipaksa” mengambil subjek Pendidikan Islam meskipun ibu kepada anaknya, sedang membuat rayuan mahkamah untuk keluar agama Islam.

Manivanan memberitahu Malaysiakini bahawa isterinya, Paramaswari dilahirkan beragama Hindu sebelum memeluk Islam apabila kedua ibu bapa Paramaswari berbuat demikian ketika dia berusia tiga tahun.

Paramaswari bagaimanapun bertindak keluar dari rumahnya ketika berusia 18 tahun dan berkahwin dengan Manivanan dan seterusnya membuat permohonan di Mahkamah Syariah Shah Alam agar status agama Islam beliau dibatalkan.

“Yang menjadi isu sekarang ialah tindakan JPN (Jabatan Perdaftaran Negara) cuba mengiktiraf anak sebagai beragama Islam,” kata Manivanan.

‘Serah pada mahkamah’

Sementara itu, Amin dalam kenyataannya menambah, pihak sekolah telah membolehkan murid terbabit mengikuti subjek Pendidikan Moral berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu.

“Maka, berdasarkan maklumat awal yang diberikan oleh bapanya, pihak sekolah menganggap murid berkenaan seorang yang beragama Hindu dan atas kategori tersebut, dia dibolehkan mengikuti kelas Pendidikan Moral,” katanya.

Berhubung status agama ibu murid itu, Amin berkata, pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“KPM memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa murid terbabit. Bagaimanapun memandangkan kes status agama ibu murid terbabit masih dalam proses rayuan di mahkamah, KPM menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara tersebut.

“Tindakan sewajarnya akan diambil selari dengan keputusan mahkamah kelak. KPM yang berpegang kepada prinsip pendidikan untuk semua sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan murid dalam menerima pendidikan,” katanya – Malaysiakini