LUMUT – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memuji tindakan kepimpinan melalui teladan yang diamalkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di negeri ini yang menjadikan aspek kebersihan sebagai salah satu fokus dalam pentadbirannya.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berkata, sikap Menteri Besar Perak itu mengutamakan amalan kebersihan bagi negeri ini telah membuahkan hasil.

Menurutnya Perak kini menikmati manfaat daripada amalam kebersihan itu apabila bandaraya Ipoh khususnya menjadi antara tempat pelancongan terkemuka dunia dan terbersih di negara ini.

“Saya sendiri telah melakukan lawatan di tempat-tempat pelancongan khususnya Ipoh, ia (Ipoh) memang berjaya menjadi tempat yang paling ramai disinggahi pelancong.

“Kebersihan ini adalah sangat pening, kerana pelancong akan melihat kebersihan di sesuatu tempat itu dan ia menunjukkan bahawa kita mempunyai tahap sivik yang tinggi, sebab itu pelancong suka datang ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program “Moh Kome Kita Ke Perak, Dekat Je” 2018 – Siri Jelajah Lumut Karnival Rendang Tok Anjuran Kementerian Pelancongan di sini.

Mohamed Nazri juga turut mempertahankan tindakan Dr Zambry itu yang sanggup turun padang bersama-sama rakyat dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempata (PBT) mengutip sampah dalam beberapa program sebelum ini walaupun dikutuk teruk oleh pembangkang.

“Kalau Menteri Besar tak turun kutip sampah, orang lain tidak akan ikut, kebersihan ini sangat-sangat penting.

“Saya bagi pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia mengucapkan terima kasih kepada usaha beliau ini,” ujarnya lagi.

BERITA BERKENAAN : Senarai Calon:Perak Masih Tunggu Pengesahan Akhir BN Pusat – Dr Zambry