KUALA KANGSAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengambil keputusan untuk menutup lima pejabatnya di Los Angeles, New York, Perth, Stockholm dan Johannesburg berkuatkuasa serta merta.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat kerana pejabat-pejabat tersebut menghadapai kesukaran untuk mempromosikan Malaysia ekoran penutupan laluan penerbangan ke destinasi terlibat oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB).

“Oleh sebab MAB sedang dalam penstrukturan semula, jadi mereka telah mengambil keputusan untuk menutupan kesemua laluan-laluan terbabit.

“Jadi kita juga terpaksa tutup sebab kalau kita mempromosikan negara pun kapal terbang kita tak ada jadi ianya agak sukar,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama rakyat di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Menurut beliau, dana RM4.5 juta yang dapat dijimatkan dari penutupan itu akan digunakan untuk membuka lebih banyak pejabat pelancongan Malaysia di China dan India yang merupakan penyumbang terbesar pelancong ke negara ini.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan memberi fokus mempromosi Malaysia kepada negara-negara eropah seperti United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Perancis yang menyumbang lebih 500,000 pelancong pada tahun 2015.

“Kita akan fokus-fokus negara-negara ini khususnya di China dan India selain negara-negara Eropah lain.

“Tapi kita tetap teruskan operasi pejabat pelancongan Malaysia di Paris, London, Amsterdam dan Frankfrut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kejatuhan wang ringgit dianggarkan akan merancakkan lagi sektor pelancongan negara pada 2017.

Beliau memberitahu, kementeriannya mensasarkan sejumlah 30.1 juta pelancong antarabangsa akan melawat negara ini dengan anggaran RM103 bilion dari segi resit pelancongan.

“Kejatuhan wang ringgit secara langsung akan menarik lebih ramai pelancong luar negara ke Malaysia disebabkan segala jenis barang atau pun penginapan menjadi murah kepada mereka.

“Dari konteks pelancong dalam negara pula, ianya juga perkara yang sama di mana rakyat akan memilih untuk bercuti di dalam negara ekoran wang ringgit yang rendah,” ujarnya.