IPOH: Pihak Kementerian Pendidikan masih lagi belum menerima sebarang laporan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di dalam kawasan sekolah seperti yang didakwa sebuah akhbar berita baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk Chong Sin Woon berkata setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa bukti yang menunjukkan  dakwaan berkenaan benar-benar berlaku.
“Kita mengambil sebarang khabar angin seperti ini dengan serius dalam memastikan persekitaran sekolah kekal menjadi kawasan bebas gejala sosial seperti dadah.
“Kita melakukan pemeriksaan secara berkala dengan kerjasama Polis serta Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) sama ada di sekolah menengah mahupun rendah.
“Kita juga lazimnya akan menggandakan usaha sekiranya kita mendapat laporan berkenaan pelajar yang berisiko tinggi namun kita tidak lah membuat ujian urin terhadap semua pelajar kerana kita tidak mahu ganggu pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas  majlis penutup Majlis Pengetua Sekolah-sekolah Menengah Conforming Malaysia (MPSMCM) di sini pada Khamis.
Menjelas lebih lanjut mengenai prosedur sekiranya seseorang pelajar didapati positif dadah hasil daripada saringan urin, beliau memberitahu pelajar berkenaan akan diberi kaunseling.
“Kita mempunyai prosedur khas bagi menangani masalah ini, kita juga akan mengikuti perkembangan pelajar berkenaan dalam tempoh tiga bulan.
“Ianya bagi memastikan pelajar itu tidak lagi terlibat dengan genjala ini, namun sekiranya prosedur itu gagal kita akan menghantar mereka ke pusat pemulihan,” jelas beliau