IPOH: Kementerian Pendidikan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk  mewajibkan program modul keusahawanan di peringkat sekolah menengah.

Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, cadangan yang disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Taj (TIC), Tina Tajuddin itu diyakini mampu membantu meningkatkan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan.

Menurut beliau, kementerian akan melihat bagaimana boleh melaksanakannya kerana proses pelaksanaan untuk mewajibkan apa-apa mata pelajaran akan mengambil masa tetapi hasrat itu dapat membantu meningkatkan minat terhadap bidang keusahawanan.

“Kementerian Pendidikan sentiasa terbuka untuk menerima apa juga cadangan daripada mana-mana pihak yang dapat membantu masa depan anak bangsa kita, itu yang penting bagi kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Universiti-Industri Program Jelajah Kesedaran 2u2i ke Sekolah Peringkat Negeri di TIC di sini, hari ini.

Sementara itu, Tina berkata, cadangan tersebut diberikan supaya dapat membantu melahirkan pelajar yang bukan sahaja holistik dan seimbang dalam pendidikan malah mempunyai ciri-ciri keusahawanan.

Beliau memberitahu, pihaknya memberi cadangan itu kerana ada di antara agensi kerajaan seperti Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) yang turut memberi geran perniagaan kepada mereka seawal usia 16 tahun dan sudah pasti wujud nilai tambah kepada pelajar-pelajar itu.

“Jadi bagi saya perlu ada gerakan untuk membawa semangat atau budaya keusahawanan ini di peringkat sekolah supaya nanti apa yang kita laungkan mencipta kerja itu berhasil,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya bidang keusahawanan hanya mula didedahkan di peringkat universiti ia dikhuatiri sudah terlambat.

Program Jelajah Kesedaran 2u2i yang dijalankan selama 13 hari anjuran TIC, dijangka dapat memberi pendedahan kepada lebih 5,000 pelajar untuk memilih bidang pembelajaran melalui khidmat nasihat dan panduan yang diberikan.