BAGAN DATUK: Kementerian Pengangkutan bersedia membantu kerajaan negeri Perak dalam menangani masalah keperluan bas ulang-alik dan ruang pejalan kaki berbumbung di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh (LTSAS).

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan bekerja rapat dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

“Saya telah melawat lapangan terbang itu dan setakat ini hanya ada dua pilihan untuk menyelesaikan masalah yang timbul iaitu menyediakan bas kecil ulang-alik dan menyediakan ruang pejalan kaki yang berbumbung.

“Tetapi kedua-dua pilihan tersebut mempunyai halangannya iaitu ruang lapangan terbang itu amat sempit dan pendek, kita menghadapi kekangan ruang.

“Tapi kita akan teruskan bekerja rapat dengan kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian ini, tiada masalah…kerajaan negeri boleh membuat permintaan dan kita akan memberi respon baik mencari jalan bersama-sama menguruskan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Akaun Rasmi WeChat “My Perak” di Hutan Melintang pada Jumaat.

Baru-baru ini Dr Zambry dalam akaun Twitternya telah memohon pertolongan Tiong Lai menyelesaikan masalah ketiadaan laluan pejalan kaki berbumbung atau pengangkutan sesuai untuk digunakan oleh penumpang kapal terbang.

“Bila penumpang kapal terbang turun, ianya agak jauh untuk mereka berjalan masuk ke bangunan lapangan terbang itu jadi sekiranya hujan, sudah tentu mereka akan menghadapai kesukaran,” jelas beliau.