TELUK INTAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memandang serius wabak penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah yang setakat ini telah menyebabkan 245 ekor lembu dan kerbau mati di Terengganu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak kementerian akan mengambil segala langkah yang diperlukan bagi memastikan ia tidak merebak atau menjadi lebih teruk seperti wabak H5N1 di Kelantan baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun pihaknya masih lagi belum menerima laporan terperinci mengenai wabak berkenaan, namun Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah pun diarahkan mengambil tindakan membendungnya.

“Langkah-langkah membendung perlu dilakukan segera kerana membendung itu lebih baik daripada merebak, kita tak mahu sampai bekalan daging terputus.

“Saya sedang tunggu laporan penuh mengenai wabak itu dan jenis-jenis langkah yang akan dan telah diambil oleh kementerian akan diberitahu kemudian,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis penyampaian zakat MoA di Teluk Intan pada Khamis.

Namun, kata beliau wabak tersebut masih lagi terkawal dan orang ramai tidak perlu gusar untuk membeli daging di pasaran.

“Jangan takut nak beli daging, kalau takut juga pergi beli dekat tempat lain,” ujarnya.