KUALA LUMPUR : Selepas teruk dikecam pengguna media sosial, Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak memadam status ‘rumah paku’ yang dimuat naik dalam Facebooknya.

Kenyataan yang dibuat kementerian itu semalam dan disertakan sekali dengan beberapa gambar rumah dekat tengah-tengah jalan dipercayai di China didakwa sebagai cubaan menyindir penduduk di Kampung Bharu.

“Rumah Paku = Rumah yang enggan dirobohkan pemiliknya di tengah-tengah projek pembangunan,” katanya sebelum status itu dipadam.

Namun, kenyataan itu dipadam dan mereka memuatnaik permohonan maaf secara terbuka beberapa minit selepas status ‘rumah paku’ mengundang kemarahan pengguna.

“Admin benar-benar mohon maaf di atas posting mengenai Rumah Paku yang menyinggung perasaan warganet.

“Perkara ini amat tidak disengajakan dan berharap tidak dipanjangkan lagi. Posting tersebut tidak berniat apa-apa,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, warganet yang tidak berpuas hati terus mengecam tindakan kementerian menyinggung perasaan penduduk Kampung Bharu.

“Kesian admin, mesti terpaksa ikut cakap menteri yang hmmm.. sabar jela sahabat. Sepenggal je…kami janji,” kata Shafa Mohd.

“Agak-agak si Khalid tu pasal apa beria-ia sangat hendak pastikan tanah Kampung Bharu dijual. Kalau suruh dia bersumpah dia tak dapat sedikit pun faedah atau kepentingan daripada penjualan tanah kampung agak-agak berani tak dia,” kata Muhammad Zainuddin

“Tolong profesionallah buat kerja. Page rasmi kementerian bukan untuk luahkan hati tisu dan mental koyak si menteri. Salurkan maklumat rasmi berkaitan rakyat sahaja. Kalau nak luah perasaan, guna fb beliau,” ujar Nong Nokman Basyir.

“Jangan risau nanti boleh dijadikan contoh teladan yang baik untuk anak-anak masa hadapan, supaya jangan silap pilih pemimpin sebab kalau silap pilih Malaysia ini sudah macam negara-negara Afrika yang miskin. Pemimpin korup punya fasal, musnah negara,” kata Alex Xan.

– UTUSAN ONLINE