Oleh:Nazialita Geynna Maharan

MANJUNG: Kemeriahan Pesta Cahaya yang disambut masyarakat India turut dirasai oleh rakan-rakan penjaga gol pasukan Piala Presiden Perak yang tidak melepaskan peluang meraikan Deepavali.

Penulis sempat berkunjung ke kediaman R Yuvaraj, 21 di Seri Manjung yang begitu meriah dengan kehadiran sahabat serta rakan sekolahnya.

Sebaik sahaja tiba di muka pintu, kelihatan Yuvaraj tidak menang tangan beramah mesra dengan tetamu di ruang tamunya manakala ibu dan ayahnya pula sibuk menghidang makanan di meja.

Suasana tersebut tampak begitu ceria apatah lagi dengan kehadiran sahabat Yuvaraj dari seluruh negeri di samping teman-teman sepermainannya di kampung.

Nurnabilah Ahmad Muzamil, 21, yang bekerja sebagai ahli fisioterapi berkata perayaan Deepavali merupakan pesta yang dinantikan saban tahun bersama rakan dan keluarganya.

Dia yang bekerja di salah sebuah farmasi swasta di Ipoh mengakui Pesta Calata itu tidak kurang meriahnya berbanding Hari Raya bagi umat Islam, cuma lebih berwarna-warni.

“Seperti Hari Raya, mereka juga ada ibadah sembahyang, meminta berkat ibubapa dan menjamu tetamu dengan aneka juadah tradisi, jadi tidak timbul soal janggal, apatah lagi saya memang suka dengan rempah-rempah hidangan mereka,” katanya kepada Suara Perak.

Ternyata, keterbukaan pasangan M Rajendran, 55 dan M Punithavathi, 52 sedikit sebanyak menceriakan dan mengisi masa terluang sepanjang cuti sekolah tujuh hari tahun ini.

Yuvaraj yang mesra dengan gelaran Raj berkata, inilah antara masa dia dapat menghabiskan rutinnya yang sibuk bersama kedua orang tuanya kerana jadualnya padat dengan latihan bolasepak serta kerjaya hakiki sebagai seorang pegawai veterinar.

“Bukan mudah untuk melihat suasana seperti ini, setahun sekali sahaja di mana rakan dari Semenanjung malah Sabah Sarawak datang bermesra dan menjamah hidangan.

“Saya harap perhubungan ini berkekalan dan harapnya tahun hadapan lebih ramai yang datang,” ujar Raj.