IPOH – Kemiskinan bukan untuk diwarisi kecuali sesuatu individu itu terus memilih untuk menjadi demikian, itu nasihat Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kepada golongan berkenaan di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri boleh menyediakan pelbagai insiatif dan bantuan untuk mengeluarkan golongan tersebut dari kepompong kemiskinan, namun hakikatnya keberkesanan segala tindakan itu berbalik kepada usaha golongan itu sendiri.

“Semua perlu ingat perkara ini, kemiskinan itu bukan untuk diwarisi, kalau hari ini kita susah, kita misti didik anak-anak kita menjadi orang yang berjaya, pendidikan lah yang boleh mengubah nasib mereka.

“Perkara paling penting perlu kita fikirkan adalah masa depan anak cucu kita tak mengira kaum, saya tak boleh beri janji bulan dan bintang, kita tak mempunyai banyak wang yang boleh dicurahkan.

“Tapi apa yang kita (kerajaan negeri) berikan kepada semua khususnya golongan miskin adalah peluang pendidikan, ini bagi saya adalah perkara paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konsert Sambutan Deepavali bersama rakyat di sini pada malam Sabtu.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri amat komited untuk memastikan kesemua penduduk di Perak mendapat pendidikan yang sempurna tidak mengira kaum atau kawasan.

“Kita akan berikan bantuan kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, beri bantuan serta sokongan kepada guru dan murid, kita mahu semua menerima pendidikan agar mereka diberi peluang mengubah hidup mereka.

“Namun perkara paling penting, ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing, fokus kepada memberi pendidikan kepada anak-anak, jika tidak apa sahaja yang dilakukan kerajaan tidak akan berjaya,” ujarnya.

Lebih 1,000 rakyat di negeri ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum telah memeriahkan konsert yang diadakan di stadium Indera Mulia itu.

Selain persembahan tarian dan nyanyian pengunjung turut dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisional masyarakat India.