IPOH: Kerajaan negeri diingatkan supaya tidak membuat tuduhan melulu terhadap Jabatan Mufti sehingga mengheret institusi itu ke dalam kancah politik kepartian.

Pesanan itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Umno dan Pas Perak diwakili oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurut mereka, tindakan Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi memanggil Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dalam isu penganjuran Kempen #BMF dilihat merendah-rendah institusi mufti.

“Walaupun pertemuan itu dibatalkan, tetapi arahan awal exco berkenaan membuktikan ada cubaan Kerajaan Negeri untuk melibatkan institusi Mufti ke arah politik kepartian. Cubaan ini adalah usaha untuk campurtangan dan ianya mesti dihentikan dengan segera.

“Harus diingat, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu kenyataan pada 10 September lalu sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kempen berkenaan dan ia mestilah dihormati oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri.

“Perlu diingatkan juga bahawa Jabatan Mufti Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merupakan dua entiti berbeza,”katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas mereka, JAIPk yang diselia oleh Exco Agama, Jabatan Mufti adalah dibawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan.

“Sehubungan itu, cubaan untuk memanggil timbalan Mufti secara terbuka akan dilihat sebagai cubaan mencabar kedudukan majlis berkenaan.

“UMNO dan PAS Perak yakin majoriti rakyat akan bersama-sama dalam mempertahankan integriti dan kemuliaan institusi mufti daripada sebarang cubaan untuk melemah atau mencabar kedudukan Islam,”ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Asmuni sebagaimana yang dilaporkan media, melarang Kempen BMF di seluruh masjid di negeri Perak.

Beliau dipetik berkata Perak memilih untuk mengutamakan kempen membeli barangan halal kerana ianya adalah tuntutan sebenar seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.

Asmuni turut berpesan kepada pimpinan mana-mana parti yang terlibat dalam kempen berkenaan agar melihat jauh kesan yang akan dihadapi oleh para peniaga Melayu.