IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan usaha beliau mengadakan kempen Perak Yang Bersih bukan untuk kepentingan politik tetapi untuk menyemai dan menanam kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar di kalangan rakyat.

Menurut beliau, langkah beliau turun padang untuk menjayakan kempen itu mengundang rasa kurang senang kepada pihak tertentu, hanya kerana masalah politik mereka.

Zambry kutip Sampah 7

Dr. Zambry menjelaskan, beliau turun padang kerana mahu memberikan motivasi kepada rakyat tentang kepentingan dan menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu tabiat yang berterusan.

“Sebab itulah saya turun bersama-sama dengan mereka memberikan motivasi kepada mereka walaupun saya tahu ada pihak tidak senang.

“Tidak senang itu adalah kerana dia ada masalah politik, tidak apa biar masalah dia, biar dia terjun dengan labu-labu nya. Ini kisah Si Luncai, Si Luncai ni dia tidak akan senang akhirnya dia akan terjun dengan labu-labu nya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen Perak Yang Bersih di perkarangan Bangunan Pusat Informasi Pelancongan di Padang Ipoh pada Jumaat.

Zambry kutip Sampah 5

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, exco kerajaan negeri Perak, Datuk Rusnah Kassim, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Dr Zambry berpendapat, rakyat akan bersama dengan kerajaan kerana apa yang beliau dan kerajaan lakukan bukan atas kepentingan politik tetapi untuk kepentingan orang ramai dan rakyat negeri Perak.

“Rakyat ingin melihat wujudnya suasana kebersihan bukan sahaja di bandaraya Ipoh, malah di seluruh negeri Perak,” ujarnya.

Menteri Besar berkata, selaras dengan kempen itu, beliau meminta semua jabatan menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai penunjuk prestasi utama (KPI) bagi menyemai semangat sentiasa menjaga kebersihan di tempat bekerja.

Hampir 10,000 rakyat termasuk kakitangan kerajaan menjayakan program ini yang berlangsung secara serentak di seluruh negeri Perak.