KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu mahu kempen kibar Jalur Gemilang di negeri ini dilakukan secara besar-besaran.

Beliau mahu seluruh negeri Perak dibanjiri Jalur Gemilang, bukan sahaja di bangunan kerajaan, tetapi juga di premis-premis swasta dan rumah kediaman.

Sehubungan itu, beliau merayu semua rakyat di negeri Perak mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera di kediaman masing-masing.

“Tahun ini, kita akan sungguh-sungguh kibarkan Jalur Gemilang. Mulai malam ini, kita kibarkan sekurang-kurangnya satu bendera di rumah,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan 2018 dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Perak di pekarangan Dewan Jubli Perak di sini, malam ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal; Exco kerajaan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa pelancaran, YB Dr Abdul Aziz Bari dan Exco kerajaan negeri, YB Wong May Ing.

YAB Ahmad Faizal berkata, kempen besar-besaran itu perlu kerana sejak 10 tahun kebelakangan ini, beliau mendapati semangat patriotik di kalangan rakyat semakin berkurangan.

Menteri Besar memberi contoh, tahun lalu, beliau sendiri bersama isteri, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan anak-anak mengedarkan Jalur Gemilang di taman perumahannya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang perlu dihayati untuk menimbulkan rasa sayang kepada negara.

“Sambutan ini bukan saja-saja untuk seronok tetapi perlu dihayati dengan penuh kasih sayang kepada negara.

“Kalau kita sayang kepada negara, kita juga mesti benci kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti rasuah, penyelewengan, penagihan dadah, maksiat lain-lain lagi,” ujarnya.

Terdahulu, YAB Ahmad Faizal dan isteri turut menyaksikan pelbagai persembahan menarik dan penuh warna warni, antaranya tarian kebudayaan daripada pelajar-pelajarSekolah Seni Negeri Perak, Sungai Siput dan pancaragam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Sam Tet, Ipoh.