IPOH – Temasya Idea Perak (Perak Festival of Ideas) memulakan kempen pengumpulan idea daripada orang ramai, hari ini apabila berjaya menarik penglibatan lebih 200 orang sempena Hari Tanpa Kereta anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Jalan Raja Dihilir.

Tinjauan di reruai disediakan Institut Darul Ridzuan (IDR) mendapati, pengunjung dalam kalangan belia dan pelajar sekolah juga tidak ketinggalan teruja menulis pandangan dan idea masing-masing pada bendera segi tiga yang diedarkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man turut menyatakan sokongan penuh terhadap kempen pengumpulan idea berkenaan.

Beliau turut berkesempatan menyenaraikan idea berhubung pembangunan bandar Ipoh, antaranya adalah peningkatan infrastruktur pengangkutan di dalam bandar dengan menyediakan kemudahan trem dan kereta kabel.

Menurutnya, penglibatan orang ramai dalam menyumbang idea untuk pembangunan negeri adalah satu pendekatan terbaik bagi memastikan rakyat benar-benar mendapat manfaat.

“Saya mengharapkan sepanjang tempoh karnival ini, semua orang akan menyumbang idea masing-masing demi kesejahteraan semua,” katanya.

Sejak dilancarkan Rabu lepas, kempen berkenaan telah mengumpul hampir 500 idea, jumlah itu dijangka terus meningkat selaras dengan sasaran 10,000 menjelang berlangsungnya Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) pada 11 dan 12 September depan.

Temasya Idea Perak bakal berlangsung selama seminggu bermula pada 6 September ini merupakan pendekatan baharu dilakukan kerajaan negeri melalui IDR bagi merakyatkan acara berbentuk ilmiah dan intelektual juga sebagai sokongan terhadap penganjuran PIDD yang masuk edisi kelima, tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai PIDD mengenai beh diperolehi dengan melayariwww.pangkordialogue.com. Mengenai Temasya Idea Perak pula, layariwww.perakfestivalofideas.com atau facebook dan instagram ‘perakfestivalofideas’.

-Sinarharian