IPOH: Kempen Perak Yang Bersih yang dilancarkan pada 2 April lalu akan diteruskan sehingga kesedaran kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun Perak diisytiharkan antara negeri terbersih di Malaysia selepas Terengganu, ia tidak akan terhenti setakat itu sahaja.

Menurut beliau, walaupun kempen yang dijalankan itu dianggap sinis oleh pembangkang, tetapi pengiktirafan itu adalah berkat usaha yang dilakukan selama ini untuk memastikan Perak berada dalam keadaan yang bersih.

“Namun kita tidak boleh berhenti setakat itu saja, kita perlu teruskan tradisi dan juga membudayakan kebersihan dalam negeri Perak secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai Perak menjadi negeri kedua terbersih selepas Terengganu.

Sambil mengucapkan terima kasih terhadap pengiktirafan itu, Dr Zambry berkata, beliau sendiri tidak akan berhenti hanya sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan seperti itu kerana apa yang lebih penting untuk meneruskan tradisi tersebut.

“Proses pembuadayaan ini perlu dilakukan, ia tidak hanya terhenti kepada satu tahap atau melalui satu pengiktirafan sahaja. Pada saya selagi kita belum membudayakan aspek kebersihan dalam kehidupan dalam negeri kita, kita akan meneruskan kempen untuk menjadi Perak yang bersih,” ujarnya.

Dr Zambry berkata, kempen itu adalah usaha bersama semua pihak yang tidak didasarkan kepada faktor politik semata-mata.

“Bagi mereka yang membantah, membangkang atau menggunakan kesempatan tertentu, asalkan ada sedikit kawasan kotor, kawasan yang ada jentik-jentik, tak payahlah jadikan ia isu tempelan.

“Sepatutnya kita sama-sama menggerakkan, bukan memperli saya, bukan mengutuk saya seperti yang dilakukan beberapa ADUN DAP baru-baru ini,” kata beliau.

Baru-baru ini, beberapa ADUN DAP memperlekehkan kempen Perak Yang Bersih selepas kononnya mendapati tempat menyimpan air di luar Kediaman Rasmi Menteri Besar mempunyai jentik-jentik nyamuk.

“Itu merupakan langkah yang tidak bijak oleh seorang ADUN, sepatutnya maklumkan kepada kita supaya kita dapat jadikan negeri Perak ini lebih bersih, bukan memaki hamun dan perli saya,” tambah beliau.