LUMUT: Kerajaan negeri Perak mengambil contoh kejayaan pangkalan TLDM Lumut dalam menganjurkan kempen Jom Solat Subuh Berjemaah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau sendiri melihat ribuan jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah di dalam pangkalan itu.

088fc172-4fc3-430e-b837-04e0b5cbff76

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Panglima Armada Barat, Laksamana Madya, Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan anggota TLDM yang telah lama menjayakan kempen solat Subuh berjemaah.

“Terima kasih kepada Panglima dan anggota TLDM yang dah lama buat, ini adalah antara contoh yang terbaik untuk program gempur Subuh,” katanya ketika berucap sempena program qiamullail, solat Subuh dan kempen Jom Solat Subuh Berjemaah di Dewan Solat Sementara TLDM Lumut pada pagi Jumaat.

Selain Panglima Armada Barat, pegawai serta anggota TLDM, turut hadir di majlis itu ialah beberapa anggota Exco kerajaan negeri Perak dan pemimpin setempat.

bd93a535-041f-4559-85c0-cf96577f806bKira-kira 1,500 hadir pada program itu, yang mungkin sukar untuk dilihat di tempat-tempat lain, tetapi perkara biasa bagi warga TLDM Lumut.

Dr Zambry berkata, walaupun mungkin sukar untuk mendapatkan jemaah seperti itu di tempat-tempat lain di negeri ini, tetapi kerajaan negeri akan terus istiqamah melaksanakannya.

“Kerajaan negeri ambil inisiatif yang sama, kita buat sedikit demi sedikit dan istiqamah kerana kalau kita istiqamah, perkara yang berat akan jadi ringan,” ujarnya.

Menurut beliau, bukan mudah untuk mendidik anak muda khususnya, bangun awal, tetapi ia adalah latihan bagi membentuk jiwa mereka.

Terdahulu, jemaah mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Masjid) Jabatan Agama Islam Perak, Saiful Azizi Abd Manaf mengenai jenis-jenis dosa, termasuk dosa dengan manusia.

Hujan lebat yang turut menyebabkan program Fit Masjid tidak dapat diteruskan dan digantikan dengan sesi regangan otot sahaja.